Blog

Apakah bahasa minda kita? Minda kita berkomunikasi dengan menggunakan  gambar. Apabila kita melihat suatu gambarajah, otak kita akan mudah menyimpan maklumat tersebut. Dengan menggunakan teknik imaginasi, pelajar akan lebih mudah mengingati kandungan sesuatu subjek tersebut.

Kita mempunyai apa yang dinamakan otak kanan dan otak kiri. Otak kiri melibatkan pemikiran bercorak akademik seperti perkataan, nombor, kebolehan saintifik, matematik, bahasa, analisisi dan penggunaan tangan kanan.

 



Otak kanan pula melibatkan aktiviti bersangkutan irama, imaginasi, warna, khayalan, ilham, corak, dimensi dan penggunaan tangan kiri.

Persoalan yang timbul adakah kita menggunakan kedua-dua bahagian otak dengan bijaksana. Umpamanya adakah kita selalu menggunakan otak kanan kita untuk menghayalkan sesuatu tentang pelajaran atau adakah ia selalu digunakan untuk menghayalkan dan mengimaginasi tentang masalah peribadi, angan-angan kosong, dendam, hasad-dengki dan perasaan yang tiada hubungkait dengan pelajaran.

Jika otak bahagian kanan ini belum lagi digunakan sepenuhnya untuk mengkhayalkan pelajaran, maka masanya telah tiba kita menghakis semua khayalan dan imaginasi kosong serta gunakan setiap saat yang ada untuk membayangkan pelajaran.

Teknik imaginasi perlu pada penumpuan. Fokus yang serius amat perlu. Sebaik-baik suasana ialah yang sunyi sepi seperti semasa berehat, semasa berbaring sebelum tidur malam, semasa duduk berseorangan menenangkan fikiran, semasa menumpang bas atau teksi, semasa di stesen bas dan lain-lain.

Sebagai contoh kita ambil suasana berbaring sebelum tidur. Ketika itu, kebiasaannya bilik gelap dan keadaan sunyi sepi. Dalam suasana ini, tenangkan fikiran. Mula bayangkan soalan-soalan, rajah, sifir, graf dan apa juga yang telah dipelajari. Bayangkan ia satu demi satu. Untuk menguatkan tumpuan menulis, lukis apa yang diingat di atas tilam dengan menggunakan telunjuk anda. Amalkan ini setiap malam. Soal diri anda, dari satu soalan ke satu soalan lain, dari satu mata pelajaran ke mata pelajaran lain sehinggalah tertidur. Ulangi apabila terbangun di tengah malam. Jangan lupa untuk amalkan solat sunat.  Amalkan teknik ini dari hari ke hari, minggu ke minggu, bulan ke bulan hingga hari peperiksaan. Bila ruangan khayalan ini dipositifkan dengan fikiran sihat, anda akan rasakan hasil usaha ini. Bagi anda yang belum mengamalkannnya, masih belum terlambat untuk memulakannya sekarang. Semoga berjaya!