sambungan... dari Bahagian 1


2. Ibadah

Ibadah yang dilakukan dalam sehari-hari perlu dilakukan mengikut langkah-langkah yang ditunjukkan oleh baginda Rasulullah S.A.W. Hanya dengan cara yang betul, ibadah kita diterima oleh Allah S.W.T. dan seterusnya diberikan pahala bagi meraih ganjaran syurgaNya. Dengan akar (akidah) yang telah kukuh, maka batang dan ranting (ibadah) akan membesar dengan sempurna.

Secara asasnya, perkara-perkara ibadah yang perlu dipelajari dalam fardhu ain adalah beristinjak, membersihkan anggota badan, pakaian dan tempat daripada najis, berwuduk, cara bertayammum, cara mandi wajib, azan dan iqamat, solat fardhu, solat jenazah dan puasa.

Beristinjak

Perkara-perkara ibadah perlu dipelajari dengan terperinci. Beristinjak ialah bersuci daripada najis selepas membuang air kecil ataupun air besar. Perkara penting yang perlu difahami dengan terperinci dalam beristinjak adalah adab-adab qadha hajat, tempat yang haram untuk buang air dan makruh buang air.

Jenis-jenis najis

Islam adalah suci dan penganutnya juga perlu sentiasa suci membersihkan anggota badan, pakaian dan tempat daripada najis. Di dalam tajuk ini, bahagian najis yang terdiri perlu diketahui iaitu najis mukhaffafah (ringan), najis mutawassitah (pertengahan) dan najis mughallazah (berat). Jenis-jenis air suci yang boleh digunakan adalah air mutlak, air mutanajjis (air yang bercampur najis), air mustakmal (air yang telah digunakan), air musyammas (air yang terkenan pancaran matahari) dan air mutaghayyir (air yang berubah warna, rasa dan bau).

Solat fardhu hanya akan sah apabila berwudhuk dengan sempurna. Di dalam berwudhuk, antara perkara yang perlu dilakukkan supaya wudhuk kita sah adalah memenuhi syarat-syarat berwudhuk, fardhu berwudhuk, cara berwudhuk dan perkara makruh ketika berwudhuk.

Tayamum

Antara langkah bertayamum

Apabila dalam keadaan tanpa air, adalah perlu bertayammum bagi menggantikan wudhuk dan mandi. Cara bertayammum ialah menyapukan debu ke muka dan kedua tangan sampai ke siku menggunakan debu suci dengan beberapa syarat. Dalam bertayammum, cara-caranya yang perlu dipelajari adalah syarat-syarat tayammum, sunat tayammum, rukun tayammum, cara bertayammum dan perkara yang membatalkan tayammum.

Mandi wajib

Mandi wajib adalah salah satu ibadah yang wajib dipelajari. Antara perkara-perkara yang perlu dipelajari adalah sebab-sebab yang mewajibkan mandi wajib, rukun mandi wajib, sunat-sunat mandi wajib dan tidak ketinggalan cara mandi wajib dengan sempurna.

Walaupun ibadah ini mungkin kadang-kala sahaja dilakukan, tetapi ibadah azan dan iqamat tetap perlu diketahui dan dipelajari. Bagi seorang lelaki, wajib bagi orang lelaki mengetahui cara melaksanakan azan dan lafaz azan yang betul. Manakala, cara menjawab azan dan iqamah perlu diketahui oleh semua orang tidak kira lelaki dan perempuan.

Solat Fardhu

Antara Rukun Islam terpenting yang perlu dipelajari adalah solat fardhu, 5 waktu sehari semalam. Masyarakat kini kurang memandang kepentingan mempelajarinya dengan betul. Solat wajib dilakukan dengan betul berdasarkan 3 rukun penting iaitu rukun qalbi, rukun fi’li dan rukun rukun qauli. Ini membawa maksud seluruh solat yang dilakukan perlu memenuhi rukun yang berasaskan hati (khusyuk), rukun yang berasaskan perbuatan anggota badan (pergerakan anggota badan) dan rukun yang berasaskan kepada sebutan dan bacaan.

 

 

"Bacalah serta ikutlah akan apa yang diwahyukan kepadamu daripada Al-Quran, dan dirikanlah solat. Sesungguhnya solat itu mencegah daripada perbuatan yang Fahsya’ dan mungkar; dan sesungguhnya mengingati Allah adalah lebih besar. Dan (ingatlah) Allah mengetahui akan apa yang kamu kerjakan" [Al-Ankabut 29: 45]

Di dalam solat fardhu, terdapat pelbagai perkara yang wajib diketahui. Perkara-perkara itu adalah syarat-syarat solat, rukun solat, makruh dalam solat, sujud sahwi, sujud tilawah, perkara yang membatalkan solat, waktu-waktu solat fardhu, lafaz niat dalam solat, cara mengerjakan solat, bacaan doa qunut dalam solat subuh dan doa selepas solat fardhu.

Solat Jenazah

Solat jenazah adalah fardhu kifayah. Ini bererti apabila telah dilakukan oleh sebahagian orang, maka orang lain telah terlepas daripada tanggungjawab tersebut. Di dalam solat jenazah, perincian perkara yang perlu dipelajari bagi mengerjakan solat jenazah adalah hukum solat jenazah, syarat-syarat solat jenazah, rukun-rukun solat jenazah, waktu yang diharamkan solat jenazah dan cara solat jenazah.

Puasa

Rukun islam yang ketiga - perlu difahami dengan teliti agar mudah untuk melaksanakannya. Puasa wajib dilakukan ketika bulan ramadhan menjelang. Dalil pensyariatan puasa terdapat dalam surah Al-Baqarah, ayat 183. Lafaz niat puasa ramadhan, syarat-syarat sah puasa, perkara-perkara yang membatalkan puasa dan hikmah berpuasa perlu diketahui dan dipelajari.

 

nantikan sambungan seterusnya di Bahagian 3 untuk topik Akhlak