Setiap yang bergelar muslim wajib mengetahui, belajar dan mengamalkan tiga perkara penting dalam kehidupannya. Tiga perkara itu meliputi akidah, ibadah dan akhlak bagi membentuk dirinya menjadi mukmin yang berkualiti dan seterusnya menjadikan Islam sebagai cara hidupnya.

Secara asasnya, tajuk-tajuk yang perlu dibincangkan bagi mempelajari fardhu ain dalam akidah ialah:-

a. Mengucap dua kalimah syahadat

b. Rukun Islam

c. Rukun Iman


Mari kita lihat gambar dibawah:-

 

Ibarat menanam biji benih sebuah pokok, akar akan keluar terlebih setelah disiram dengan air. Kemudiannya, daun mula kelihatan dan batangnya mula memanjang di sepanjang tumbesaran. Pertumbuhan daun-daun mula bertambah bilangannya dari sehari ke sehari. Setelah cukup tempoh matangnya, maka buah-buah mula tumbuh. Inilah nikmat yang dijadikan untuk manusia dan binatang yang dapat memakannya.

 

Akidah

Berdasarkan gambar dan perumpamaan diatas, itulah yang perlu dilakukan di sepanjang kehidupan kita sebagai seorang mukmin. Akidah perlu ditanamkan sekukuhnya. Kerana tanpa akidah yang kukuh, ibadah dan akhlak yang dilakukan tidak dapat bertahan lama.

Akidah yang perlu dipelajari meliputi mengucap dua kalimah syahadat, Rukun Islam dan Rukun Iman. Akidah yang pada kalimah asalnya adalah ‘aqada’ dan pada maksud bahasanya adalah ikatan atau simpulan. Menurut maksud istilahnya pula, akidah bermaksud ikatan yang tidak akan putus dan keyakinan yang penuh pada Allah S.W.T. sebagai Tuhan yang Maha Esa.

AKU BERSAKSI BAHAWA TIADA TUHAN YANG DISEMBAH MELAINKAN ALLAH
DAN AKU BERSAKSI BAHAWA NABI MUHAMMAD ITU ADALAH PESURUH ALLAH

Kalimah syahadat yang wajib diimani terdiri daripada dua iaitu:-


  1. Syahadat Tauhid: Aku naik saksi bahawa tiada Tuhan yang disembah melainkan Allah.
  2. Syahadat Rasul: Aku naik saksi bahawa Nabi Muhammad itu adalah pesuruh Allah.

Setiap orang yang bergelar muslim dan mukmin wajib mempelajari dan mempraktikkan Rukun Islam dan Rukun Iman dalam kehidupannya.

 

Rukun Islam ada lima (5), yang terdiri daripada mengucap dua kalimah syahadah, solat lima waktu sehari semalam, berpuasa di bulan ramadhan, menunaikan zakat dan mengerjakan haji bagi yang berkemampuan.

Rukun Iman pula ada enam (6) perkara, iaitu; beriman kepada Allah S.W.T, beriman kepada malaikat, beriman kepada kitab, beriman kepada rasul, beriman kepada hari akhirat dan beriman kepada qada’ dan qadar.

Rukun Islam dan rukun iman Ini perlu dipelajari dan dihayati dengan terperinci setiap satunya. Orang mukmin wajib mempelajari kepentingan dan mempraktikkannya dalam kehidupan seharian. Islam itu cantik dan mudah mengatur langkah dan perjalanan penganutnya.

 

bersambung...