Matematik merupakan satu matapelajaran yang penting dan sentiasa digunakan secara meluas di dalam kehidupan seharian.Ini dapat dilihat apabila subjek Matematik yang diajar di sekolah, sentiasa dijadikan sebagai asas dan panduan dalam menyelesaikan masalah yang berkaitan dengan angka. Di samping itu, matematik juga secara tidak langsung menggalakkan kemahiran berkomunikasi secara kreatif dan kritis!

Terdapat satu senario para pelajar yang mempelajari subjek matematik beranggapan bahawa MATEMATIK adalah subjek yang sukar. Lebih serius lagi, ada yang membenci Matematik.

Mengapa hal ini terjadi?

Adakah hal ini berlaku kerana faktor pengajar, atau faktor suasana keluarga yang memang tidak menyukai atau membiasakan diri dengan Matematik? Atau, mungkin juga kerana faktor diri-sendiri yang malas. Samada malas bertanya dan membuat latihan serta tidak berminat!

 

Sebenarnya, apa sahaja subjek yang ada di dunia ini, adalah MUDAH. Dengan syarat, para pelajar tahu teknik yang betul untuk menguasai subjekt tersebut. Oleh itu, untuk menjadi seorang pelajar yang cemerlang dalam subjek Matematik, perlu mengikuti 5 perkara penting ini, iaitu:

  1. Teknik belajar Matematik
  2. Penyelesaian masalah
  3. Kenalpasti topik yang lemah dikuasai
  4. Belajar untuk peperiksaan / ujian Matematik
  5. Teknik untuk menduduki peperiksaan / ujian Matematik

 

Teknik Belajar Matematik 'Pembelajaran Aktif' versus 'Pembelajaran Pasif'


Proses pembelajaran Matematik memerlukan teknik belajar aktif. Sewaktu belajar Matematik, pelajar perlulah:

  • Mengenalpasti apa yang tahu dan apa yang tidak tahu: Pelajar juga perlu tahu bagaimana untuk meminta bantuan guru bagi menyelesaikan masalah yang ‘tidak diketahui’ tersebut.
  • Jangan sekali-kali ponteng kelas Matematik: Pembelajaran Matematik melalui guru adalah lebih berkesan berbanding belajar sendiri. Malahan, di situlah sebenarnya terletaknya keberkatan ilmu bagi seorang pelajar, iaitu dengan menghormati guru.
  • Aktifkan diri dalam kelas Matematik: Dinasihatkan agar, belajar dahulu sepintas-lalu secara bersendirian sebelum kelas bermula.
  • Ambil peluang untuk bertanya apa yang anda tidak faham apabila berpeluang.
  • Berjumpa guru di waktu rehat untuk bertanyakan masalah penyelesaian Matematik: Cara begini akan lebih mendekatkan pelajar dengan guru serta lebih memotivasikan pelajar untuk berjaya dalam subjek Matematik.

Teknik Belajar Matematik adalah Berbeza dengan Pelajaran Lain

Matematik adalah satu subjek yang menitikberatkan proses penyelesaian masalah. Penyelesaian masalah secara tidak langsung membantu pelajar untuk lebih memahami dan mengingati topik-topik dan formula-formula Matematik dengan mudah. Di samping itu, ia juga dapat membiasakan pelajar dengan teknik menjawab soalan yang betul. Perkara yang paling penting adalah, memahami konsep asas Matematik.


Masa Belajar Matematik

Masa ulangkaji adalah fleksibel dan terpulang kepada pelajar untuk mengaturnya. Akan tetapi, kami menyarankan agar, para pelajar membuat latihan matematik pada setiap hari, dan sekurang kurangnya, 1- 2 jam sehari. Pastikan setiap soalan adalah benar-benar berkualiti dan mencabar.

Untuk mengelakkan rasa bosan, pelajar juga boleh mewujudkan kumpulan belajar sendiri bersama rakan-rakan sekolah. Jika mempunyai masalah, pelajar boleh bertanya kepada rakan-rakan, guru-guru atau tutor bagi memberi tunjuk-ajar kepada mereka. Selamat Maju Jaya!

Nik Mohd Suhaimi Nik Din

Ijazah Sarjana Muda Bioteknologi, UIAM

Tutor Akademi Infitah