“Maaf terlewat sampai. Jalan sibuk ke sini tadi.” bicara Mutmainah

“Tak mengapa ustazah. Alisa dan Amirul ada di dalam. Dari petang tadi menunggu ustazah.” Balas Mak Ton.

Sejak kali pertama bertandang ke rumah itu, belum pernah Mutmainah kenal ibu pada Alisa dan Amirul. Apatah lagi bapa mereka. Dan Sejak kali pertama melangkah masuk ke rumah baga mahligai. Sungguh dia belum pernah merasai nikmat hidup di dunia. Oh dunia!

Kelibat anak kecil itu bingkas menerpa lamunannya yang sekadar singgah sebentar. Dari lamunan itu,...

tersingkap tabir penuh persoalan. Mana orang tua budak-budak ini. Berminggu sudah dia ke rumah besar itu, sayangnya belum pernah mereka bersua muka. Kata Mak Ton, tuan sibuk. Berselang minggu, tuan sibuk lagi. Minggu ini mahu sahaja Mutmainah bertemu dengan mereka. Sengaja menguji skema jawapan. Tuan sibuk lagi? Lamunan terhenti lagi. Kelibat budak menghampirinya.

 

Kelibat anak kecil itu Amirul. Budak kecil lima tahun. Kakaknya Alisa. Dalam khayal Mutmainah lantas disergah. Alisa memeluknya.

“Ustazah…”

“Ye sayang, mengapa muram saja?”

“ Ustazah lambat sampai”

“Ustazah dah sampai kan”. Mutmainah memujuk.

Amirul memeluk erat buku iqra. Terpusing-pusing. Mencari tapak melabuhkan punggung. Anak kecil itu duduk bersila. Kini bacaannya makin lancar. Begitu juga dengan Alisa, makin rajin membaca muqadam. Mahu cepat habis. Mahu baca al-Quran pula. Mahu khatam. Mahu hafal al-Quran. Macam ustazah. Itu kata Mak Ton. Mak Ton juga bilang, anak-anak kecil itu sudah tak macam dulu. tak buas-buas lagi. Mereka mahu jadi budak baik. Mahu jadi seperti ustazah. Kata mereka ustazah orang baik.

 

Alisa membuka helaian Muqaddam dibaca surah yang ditandanya. Surah Al Qiyamah. Dibacanya

Bismillahirrahmannirrahim…

Laaa uq simu bi yaumil qiyamah..

Namun sayang cuma hingga ayat yang ke 11. Pantas titis-titis jernih menuruni pipi gebu anak kecil itu.

“Ustazah… Saya takut..”

Terkesima Mutmainah. Bagai disambar halilintar. Jantungnya berdebar. Mengapa dengan Alisa?

Amirul mendapatkan kakaknya. Memeluk erat. Memujuk untuk tidak lagi menangis. Nyata Mutmainah tergamam. Tidak pernah dia merasaka penangan sehebat ini. Penangan dari seorang anak kecil yang cukup-cukup mengerti. Mutmainah memeluk erat kedua-dua anak itu. Pintas hatinya berdoa.

“Ya Allah, peliharalah akan kedua-dua anak ini. Peliharalah akan diri mereka di dunia dan akhirat.”

Mutmainah menahan sebak. Mahu juga dia menangis. Anak sekecil itu bisa mengerti. Akan dahsyatnya hari kebangkitan. Sedang dia tidak langsung menafsirkannya. Apa keajaiban pada anak kecil ini.

Mak Ton? Di mana?

 

"...Aku bersumpah dengan Hari Kiamat;

Dan Aku bersumpah dengan “Nafsul Lawwaamah” (Bahawa kamu akan dibangkitkan sesudah mati)!

Patutkah manusia (yang kafir) menyangka bahawa Kami tidak akan dapat mengumpulkan tulang-tulangnya (dan menghidupkannya semula)?

Bukan sebagaimana yang disangka itu, bahkan Kami berkuasa menyusun (dengan sempurnanya segala tulang) jarinya, (tulang yang lebih halus dari yang lain).

(Kebenaran itu bukan tidak ada buktinya), bahkan manusia (yang ingkar) sentiasa suka hendak meneruskan perbuatan kufur dan maksiat (di sepanjang hayatnya, sehingga ia tidak mengakui adanya hari kiamat).

Dia bertanya (secara mengejek): “Bilakah datangnya hari kiamat itu?”

Maka (jawabnya: hari kiamat akan datang) apabila pemandangan menjadi terpendar-pendar (kerana gerun takut),

Dan bulan hilang cahayanya,

Dan matahari serta bulan dihimpunkan bersama,

(Maka) pada hari itu, berkatalah manusia (yang ingkarkan hari kiamat): “Ke manakah hendak melarikan diri?”

Tak usahlah bertanya demikian! Tidak ada lagi tempat perlindungan!..."

Surah al Qiyamah, ayat 1-11

 

--- tulisan tutor Infitah, Khairul Afif Abdul Majid. Blog beliau juga boleh diikuti di alamat http://afifabdulmajid.blogspot.com