Zaid Bin Thabit

 

Nama beliau ialah Abu sa’id bin Thabit bin al-Dahhak bin Zaid bin Lawahan bin Amru bin Abdu Manaf bin Ghannam bin Malik bin Najjar Al-Ansari. Dilahirkan di Madinah 11 tahun sebelum Nabi berhijrah, bersamaan 611M. Beliau meninggal dunia pada tahun 45H bersamaan 665M.

Beliau hidup dalam keadaan yatim kerana bapanya terkorban dalam peperangan Bu’tah pada tahun ke-5 sebelum hijrah Nabi S.A.W .Sejak berusia 6 tahun lagi beliau telah mendampingkan diri bersama Nabi S.A.W dan merupakan seorang yang pintar dan mempunyai ingatan yang cerdas. Beliau banyak mempelajari ilmu agama khususnya ilmu Al-Quran,Tafsir, Hadis dan menghafaz Al-Quran. Ibnu Abbas sendiri sering mengunjungi beliau dan mempelajari banyak ilmu darinya.  Beliau juga merupakan salah seorang sahabat terkemuka yang menulis wahyu dan biasa menulis surat baginda  S.A.W kepada orang-orang yahudi Madinah.

Sumbangan besar beliau ialah mengumpul, menulis dan menyalin Al-Quran serta penelitian bersama para sahabat yang lain di zaman khalifah Abu Bakar, Umar dan Uthman. Beliau juga pernah dilantik sebagai Qadi dan menteri kewangan Madinah.